SHAH ALAM, 1 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menjalankan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan penjaja dan pengusaha restoran memakai pelitup muka semasa pengendalian makanan.
Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pada peringkat awal, pihaknya akan menggunakan pendekatan menegur sekiranya golongan terbabit ingkar syarat ditetapkan.
“Sebagai permulaan, peniaga terlibat akan diberi pemakluman secara terus dan teguran akan dibuat jika tidak mematuhi arahan memakai pelitup muka.
“Selepas itu lain-lain tindakan tegas akan dikuatkuasakan sekiranya melanggar arahan sama,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.
Beliau berkata hebahan berhubung pemakaian pelitup muka dalam kalangan penjaja dan pengusaha restoran sudah dibuat di media sosial sebelum ini.
“Edaran notis juga akan dibuat bagi memastikan arahan ini diterima semua peniaga di sekitar Sepang,” katanya.
Pada 29 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar berkata penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran negeri ini mulai 1 Januari bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.