EXCO Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah (tengah) turut sama menyanyikan lagu Rentak Selangor bersama peserta dan jemputan ketika Konsert Rentak Selangor dan Manifestasi Keroncong 2022 di Pusat Pelancong Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Muzium Permainan Tradisional di Kuala Selangor dibuka semula 14 Februari ini

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Muzium Permainan Tradisional di Kuala Selangor akan dibuka semula kepada pengunjung pertengahan Februari ini, kata EXCO kebudayaan.

Borhan Aman Shah berkata pihaknya akan merasmikan muzium yang terletak di Bukit Melawati itu pada 14 Februari ini dan pelbagai aktiviti disediakan bagi membolehkan pengunjung mengenali dan menjiwai permainan tradisional.

“Kita sediakan aktiviti yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman bermain permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, sepak raga, galah panjang dan banyak lagi.

“Ia beri peluang pengunjung khususnya generasi muda selami dan jiwai kehidupan masyarakat dahulu menerusi permainan tradisional khususnya dari negeri ini,” katanya pada majlis perasmian Program Rentak Selangor dan Manifestasi Keroncong di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang, di sini semalam.

Borhan berkata pelbagai lagi program budaya dan kesenian akan diperkasakan di negeri itu dalam usaha Kerajaan Negeri menjadikannya antara tarikan pelancong.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli mencadangkan Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Kuala Selangor dibaik pulih bagi memelihara aset warisan di negeri ini.

Juwairiya berkata usaha itu perlu digerakkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan kewujudannya juga akan menggalakkan sektor pelancongan di Kuala Selangor.


Pengarang :