Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Hee Loy Sian bercakap kepada media selepas lawatan tapak bagi menyelesaikan isu lori keluar dan masuk ke kuari menggunakan jalan perumahan yang menyebabkan kerosakan jalan dan kemalangan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada 5 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri bincang SOP aktiviti tapak perkhemahan minggu depan

KAJANG, 5 JAN: Tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan aktiviti tapak perkhemahan termasuk perkhemahan mewah atau penuh gaya (glamping) di Selangor akan dibincangkan minggu depan, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata perbincangan itu membabitkan pelbagai pihak termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

“Minggu depan UPEN dengan pihak terlibat termasuk PBT akan bincang satu SOP untuk perkhemahan atau glamping di hutan simpan atau tanah biasa (negeri Selangor).

“Kita akan keluarkan SOP untuk masa akan datang glamping atau tapak perkhemahan (kemungkinan) bukan setakat perlu mohon permit tapi perlu buat bayaran kerana kita nampak ini satu perniagaan keuntungan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang ditemui selepas melakukan tinjauan isu berkaitan kuari di Bandar Mahkota Cheras, hari ini.

Katanya, SOP berkenaan bagi memastikan wujudnya garis panduan mengenai aktiviti itu di negeri ini.

“Tiada penguatkuasaan, SOP atau garis panduan untuk mereka (ketika ini). Di tanah biasa (persendirian) letakkan khemah (sediakan tapak perkhemahan) kalau dapat keuntungan itu lebih menjurus kepada perniagaan.

“Jadi kita perlu kutip yuran lesen dari mereka dan pastikan SOP yang dikeluarkan itu akan memastikan hal ini (insiden tanah runtuh babitkan kehilangan nyawa di Batang Kali ) tidak akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.


Pengarang :