Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik pelancaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri hasrat daftar murid sekolah rendah bawah skim insurans percuma secara automatik

GOMBAK, 29 JAN: Kerajaan Negeri mahu berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi membolehkan pendaftaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dapat dilakukan secara automatik kepada murid sekolah rendah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu diambil bagi membolehkan golongan tersebut dilindungi bawah skim berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita nak bincang dengan JPN Selangor dalam masa terdekat supaya anak-anak sekolah dilindungi dan jika berhasil akan menambah jumlah seramai sejuta murid darjah satu hingga enam dapat didaftar.

“Buat masa ini, kita tiada ‘update’ terkini tetapi setakat tahun lalu, seramai 3.5 juta telah didaftar di bawah skim ini,” katanya ditemui selepas menyampaikan bantuan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di Dewan Rakyat Batu Caves di sini, hari ini.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada enam juta rakyat Selangor dan ditawarkan kepada individu berumur bermula dari 30 hari sehingga 80 tahun.

Syarat kelayakan untuk mendaftar Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dilonggar kepada pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor berbanding sebelum ini hanya pemegang kad pengenalan kod negeri ini atau pengundi di Selangor layak mendaftar.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net


Pengarang :