Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Pusat Prasekolah AnIS Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri kutip hasil RM60 juta dalam tujuh hari, yakin capai sasaran RM2 bilion

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Negeri berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran kutipan hasil RM2 bilion susulan kemampuan mengutip RM60 juta dalam tempoh tujuh hari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata trend berkenaan akan disemak dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran dan kejayaan seperti tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh beberapa hari pada 2023, sangat menarik (kutipan hasil) apabila dalam tujuh hari pertama, kita sudah dapat sekitar RM60 juta.

“Jadi trend ini akan disemak semula selepas April atau Mei nanti,” katanya selepas melancarkan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7 di sini hari ini.

Semalam, Amirudin memaklumkan negeri memperoleh kutipan hasil sebanyak RM2.505 bilion tahun lalu, lebih RM500 juta mengatasi sasaran.

Menurutnya, pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun terakhir itu didorong muafakat antara pentadbir dan pengurusan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata projek tebatan banjir di negeri ini giat dijalankan ketika ini.

“Dijangka bulan ini juga kerajaan persekutuan akan melancarkan projek pendalaman Sungai Langat fasa dua, Sungai Damansara dan sebagainya.

“Semua ini ada kolaborasi dan komprehensif dengan Kerajaan Negeri. Kita berharap kerajaan persekutuan dapat mempercepatkan dan selesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan menyemak semula dengan Kementerian Kewangan (MOF) sama ada peruntukan RM4.7 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi pelaksanaan projek tebatan banjir sebelum ini turut dihentikan.

Ia susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.


Pengarang :