EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berucap ketika merasmikan Majlis Himpunan Usahawan Selangor sempena Karnival Usahawan Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri laksana pelbagai inisiatif bantu usahawan, galak teroka peluang baharu

SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Negeri akan terus memberi dorongan kepada usahawan Selangor menerusi pelbagai insiatif ke arah meningkatkan produktiviti mereka.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata usahawan juga perlu menetapkan azam untuk lebih maju ke hadapan dan bersedia mengambil peluang mencuba perkara baharu dengan keluar daripada zon selesa.

“Terlalu lama dalam zon selesa akan membuatkan kita cepat berpuas hati dan leka malah lambat untuk bergerak ke tahap yang lebih tinggi.

“Tetapkan sasaran tahun ini untuk lebih maju ke hadapan dan bersedia mengambil peluang mencuba perkara baharu dengan keluar dari zon selesa,” katanya di Facebook.

Beliau berkata semalam, seramai 97 peserta hadir pada program Latihan Strategi Menang 2023 anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Ia berkongsi pelbagai tips dan teknik bagi mempersiapkan peserta ke medan perniagaan di luar sana nanti,” katanya.

Sebelum ini, Rodziah berkata pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti pemasaran dan hasil jualan usahawan mikro di negeri ini.

Antaranya termasuk program latihan, peningkatan pembungkusan produk dan promosi produk usahawan mikro dalam usaha memperkasa golongan usahawan.

Selain itu, kerjasama antara agensi persekutuan, negeri dan swasta turut dilaksana bagi membantu program latihan serta promosi produk usahawan Selangor di dalam dan luar negara.

 


Pengarang :