Pengerusi Persatuan Warga Sindrom Down Negeri Selangor, Hanizan Hussin (duduk tiga, kiri) bergambar bersama tetamu jemputan dan kanak-kanak sindrom down ketika Jelajah Pemerkasaan Pengupayaan Kemahiran OKU Sindrom Down di Kuala Selangor Cabin Camp, Kuala Selangor pada 8 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri peruntuk RM4 juta tubuh YaNIS, bantu orang kurang upaya

SHAH ALAM,4 JAN: Kerajaan Negeri memperuntuk RM4 juta bagi memperluas inisiatif, program dan aktiviti untuk golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi Yayasan Insan Istimewa Selangor (YaNIS).

Dato’ Menteri Besar berkata YaNIS akan memperkasa golongan itu di setiap peringkat sekali gus kebajikan OKU lebih terpelihara.

“Kerajaan Negeri tidak sekadar menumpu kepada aspek kebajikan seperti pemberian bantuan kewangan secara ‘one-off’ (sekali beri) sahaja.

“Kita turut komited menekankan aspek pemberdayaan dan pengupayaan OKU dengan lebih serius serta holistik. Usaha ini selaras dengan visi Selangor sebagai negeri mesra OKU,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Amirudin turut menyarankan masyarakat tampil bekerjasama demi mewujudkan sebuah negeri yang harmoni.

Sebelum ini, ketika membentang Belanjawan 2023, Amirudin berkata YaNIS ditubuhkan khusus di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam membantu seluruh warga OKU negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada golongan OKU termasuk menetapkan supaya pihak berkuasa tempatan menambah kemudahan asas mesra OKU.


Pengarang :