Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) membuat tinjauan ketika majlis perasmian perpustakaan mini dan makan tengah hari di Masjid Jamiatus Solahiah, Gombak pada 15 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Negeri rancang wujud perpustakaan mini di masjid seluruh Selangor

GOMBAK, 15 JAN: Kerajaan Selangor berhasrat mewujudkan perpustakaan mini di masjid seluruh negeri bagi meningkatkan kefungsian institusi ibadat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gedung ilmu berkonsepkan kabin di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua Baharu, Batu Caves di sini dijadikan model bagi merealisasikan hasrat itu.

“Idea ini bukan baharu, seingat saya sejak 2014 lagi pandangan untuk buat perpustakaan mini di masjid. Cuma setelah bertahun-tahun baru dapat direalisasikan di sini.

“Saya kira kewujudannya di masjid sangat baik sebagai nilai tambah dan memakmurkan rumah ibadat sekali gus menarik lebih ramai anak muda untuk datang.

“Jika ada impak besar, kita akan teruskan (di masjid seluruh negeri). Mari kita sama-sama berdoa agar semuanya berjalan dengan baik dan dapat capai cita-cita itu,” katanya berucap pada majlis pelancaran perpustakaan itu hari ini.

Hadir sama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor dan Pengarah Projek Perpustakaan Shaharuddin Abu Bakar.

Sementara itu, Shaharuddin berkata pembinaan perpustakaan mini sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri yang mahu ia dimulakan di masjid terbabit.

“Saya jumpa beliau (Amirudin) untuk tujuan itu dan beliau bersetuju serta mencadangkan supaya ia dibina di masjid sekitar Sungai Tua dahulu. Ahli jawatankuasa masjid dan Jabatan Agama Islam Selangor juga menyokong.

“Diharap perpustakaan ini memberi manfaat kepada semua walaupun ruangan buku masih belum dipenuhi,” katanya yang memohon sumbangan bahan bacaan daripada individu, syarikat mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Perpustakaan dengan koleksi buku berbentuk agama, pengetahuan am, kanak-kanak, novel dan Kerajaan Negeri itu menyediakan kemudahan seperti dua unit komputer, internet, mesin pencetak serta penyaman udara.


Pengarang :