Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyertai panelis lain dalam Program Wacana Membangun Malaysia Madani dan Amanat Perdana Menteri di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri tekan program berdaya rakyat, elak bergantung pada kerajaan

PUTRAJAYA, 19 JAN: Aspek pemberdayaan dan pengupayaan rakyat untuk jangka masa panjang menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program negeri, jelas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menegaskan program bersifat populis atau jangka pendek hanya untuk memenangi atau menyenangkan hati rakyat boleh menyebabkan kebergantungan melampau kepada kerajaan.

“Pengalaman saya sendiri sebagai Menteri Besar Selangor kita melihat program kebajikan serta kebahagiaan rakyat atau merakyatkan ekonomi sekarang dikumpul sebagai Iltizam Selangor Penyayang.

“Program tersebut bukan hanya bersifat populis atau jangka pendek yang menyenangkan hati orang dan akhirnya menyebabkan ketergantungan melampau kepada kerajaan.

“(Ia) juga akan menjerat kerajaan dengan perbelanjaan besar-besaran yang tiada aspek kemampanan kepada fiskal kewangan serta pembangunan dalam kerajaan,” katanya.

Bercakap sebagai panelis dalam sesi Wacana Membangun Malaysia Madani di sini hari ini, Amirudin berkata aspek yang ditekankan kini akan membantu rakyat keluar daripada kemiskinan.

“Saya percaya ini satu rangkuman penting yang harus kita terjemahkan dalam dasar dan polisi yang melihat secara menyeluruh keseluruhan aspek ini termasuk dalam pembinaan modal insan.

“Pelaksanaan program populis akhirnya menyebabkan kebergantungan dan kebergantungan itu akhirnya akan menimbulkan kekecewaan dalam tempoh dan jangka masa yang sangat pendek,” katanya.


Pengarang :