Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri teliti wajib pelitup muka, penjarakan fizikal jika Covid-19 melonjak

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Selangor meneliti untuk mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal sekiranya berlaku lonjakan kes Covid-19 di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata negeri juga bercadang mewajibkan penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi memudahkan penjejakan kontak rapat.

“Sekarang kita tengah pantau kes dari minggu ke minggu. Kalau ada rebakan besar, mungkin kita akan ambil tindakan selanjutnya (wajibkan pakai pelitup muka) termasuk penjarakan fizikal dan penjejakan kontak rapat.

“Saya rasa penjejakan kontak rapat kalau MySejahtera tidak bersedia, SELangkah sedia. Saya tunggu apabila nampak sudah ada banyak (kes) sebab akhirnya ia kena pergi kepada FTTIS (cari, uji, jejak, asingkan, sokongan),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas melancarkan Bangunan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS), Seksyen 7 di sini hari ini yang turut dihadiri EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Dalam pada itu, Amirudin turut menggalakkan orang ramai supaya mengambil dos penggalak ketiga bagi meningkatkan imunisasi sekali gus mengawal jangkitan wabak.

Mengambil contoh jangkitan di China ketika ini, beliau mendedahkan peningkatan kes di negara terbabit berikutan kadar pengambilan suntikan penggalak masih rendah, berdasarkan beberapa data dan dapatan.

“Jadi sekarang saya mahu galakkan lebih ramai orang ambil dos penggalak. Kita kena pergiat suntikan penggalak terutama dos penggalak pertama dan kedua, minimum sekarang orang ramai kena ambil dos ketiga,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Siti Mariah mengakui kadar pengambilan suntikan penggalak di negara ini kurang dua peratus berbanding 95 peratus yang direkodkan bagi dos pertama dan 50 peratus dos kedua.

“Keadaan sekarang kita tidak sepenuhnya dilindungi (daripada Covid-19). Jadi kita galak orang awam tolong ambil dos penggalak terutama selepas enam bulan daripada dos kedua,” katanya.


Pengarang :