Suasana Kafe Meraki Jelatek. Foto Facebook meraki_jelatek
BUDAYARENCANA

Nikmati hidangan kek dan kopi ditemani ‘si bulus’ lincah

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sebaik melangkah masuk ke kafe kecil ini, mata pasti terarah kepada suasana ‘huru-hara’ yang dicetuskan oleh sekumpulan si bulus lincah berkejaran dan melompat di sana-sini, menerkam pelbagai mainan yang tersedia.

Keributan di kafe Meraki Jelatek itu bagaimanapun jelas menghiburkan Lili Syazwaniza Mohd Yatim, 33, sambil membelai Moon, seekor kucing baka Scottish Fold di pangkuannya. Barangkali enggan terlibat dalam kekecohan itu, si tembam yang mungkin seberat enam kilogram tersebut memilih riba Lili Syazwaniza atau Wani, sebagai ‘tempat selamatnya’.

Si bulus milik Wani, seekor kucing jantan berwarna hitam putih persis bertuksedo, sekadar memerhati dari dalam sangkar pengangkutnya yang diletak berhampiran suami wanita itu.

“Kami sebenarnya hendak ke restoran untuk makan selepas balik dari klinik veterinar, tetapi mengubah haluan selepas ternampak papan tanda ‘Coffee, Cakes and Cats’ di depan kafe ini,” katanya kepada Bernama. Di hadapannya masih bersisa hidangan ‘English Breakfast’ atau sarapan Amerika.

Wani bukan saja teruja kerana terjumpa kafe kucing yang begitu dekat dengan klinik veterinar mereka, tetapi juga hampir ‘tergoda’ untuk membawa pulang seekor daripada kucing terbabit selepas mengetahui kesemua haiwan comel berkenaan boleh diambil sebagai peliharaan kesayangan.

Namun, mengenangkan sudah ada lima ekor di rumahnya, dia membatalkan hasrat itu.

Kafe ini dan premis seumpamanya bukanlah gimik bagi menarik perhatian pempengaruh media sosial atau sekadar tempat menghiburkan hati dan menghilangkan stres bagi peminat kucing. Sebaliknya ia adalah talian hayat bagi kebanyakan haiwan itu yang dibuang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Premis sebegini menawarkan perlindungan kepada haiwan terbabit selain membenarkan sesiapa yang berminat membawa pulang kucing itu sebagai haiwan kesayangan, di samping turut mendidik masyarakat menjadi pemilik haiwan kesayangan yang bertanggungjawab.

Pemilik Meraki Jelatek Karen Tony Sulil Majangkim memberitahu Bernama sejak kafe itu dibuka kira-kira setahun lalu, ia berjaya memadankan 15 ekor kucing dengan pemilik baharu.

Kelibat di bulus yang ada di Kafe Meraki Jelatek. Foto Facebook Mohd Ridzuan Azman

Cari tuan baharu untuk di comel

Semasa penularan pandemik Covid-19, haiwan kesayangan juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa. Pada peringkat awal penularan, berita tentang ratusan pemilik membuang kucing atau anjing peliharaan mereka kerana takut dijangkiti virus maut itu sering dilaporkan oleh media. Kemudian, ketika pelaksanaan PKP, apabila ramai yang kehilangan pekerjaan serta tidak lagi mampu menjaga haiwan kesayangan mereka, ratusan kucing dan anjing menjadi haiwan jalanan, sesetengahnya masih lagi memakai relang leher.

Keadaan itu disaksikan sendiri oleh Karen yang kemudian menjadi pendorong beliau membuka kafe tersebut.

Dua tahun lepas, beliau menyewa sebuah ruang pejabat untuk beliau bekerja jauh dari rumah, kerana katanya sukar untuk beliau memberi tumpuan ketika bekerja di rumah. Tidak lama kemudian, beliau mendapati banyak kucing dibuang di kawasan itu, biasanya berhampiran klinik veterinar – sesetengahnya anak kucing yang baru berusia beberapa hari, atau kucing dewasa yang cedera, malah kucing pedigri. Sebahagiannya beliau bawa pulang manakala yang lain pula dicarikan tuan baharu.

Tidak lama selepas itu, beliau mengubah suai ruang pejabatnya menjadi tempat perlindungan dan kafe yang memberi peluang pelanggan bermesra dengan kucing-kucing terbabit.

“Niat saya ialah untuk memberi perlindungan kepada kucing-kucing ini, pastikan mereka kembali sihat, terutama yang besar-besar (dewasa), dan selepas itu tawarkan kepada yang berminat untuk dijadikan haiwan kesayangan,” ujarnya, menambah pada masa ini terdapat 32 ekor kucing di premis itu.

Ujarnya lagi, kebanyakan kucing tersebut diambil apabila pelanggan datang ke kafe dan menjadi rapat dengan kucing berkenaan. Kongsinya lagi, yang terkini berjaya dengan pemilik baharu ialah seekor kucing baka Russian Blue bernama Putin.

“Seorang pelanggan, namanya Barbara, selalu datang ke sini kerana dia membawa kucingnya ke klinik veterinar dan semasa menunggu, dia akan datang ke sini untuk menikmati kopi dan kek keju. Kemudian, Putin akan datang dan duduk di ribanya, dan dia dapati situasi itu memberikan ketenangan kepadanya. Lantas dia bertanya sama ada dia boleh ambil dan bela kucing tersebut,” cerita Karen.

Menurutnya, apabila ada yang berminat untuk mengambil dan membela haiwan terbabit, beliau akan menemu bual bakal pemilk bagi memastikan individu berkenaan tahu cara menjaga kebajikan haiwan kesayangan.

Sekalipun begitu, tidak semua kes berakhir dengan kegembiraan. Ada kucing yang terpaksa dikembalikan ke kafe kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan kediaman baharu.

Ini terjadi kepada seekor kucing di Seri Talam Cat Cafe di Wangsa Maju, kira-kira lima kilometer dari Meraki Jelatek, yang sudah dua kali dikembalikan kepada kafe.

“Ia sangat nakal, suka tolak barang jatuh dari meja,” cerita penjaga Judith Xavier, menambah ada juga kes kucing mengalami kemurungan kerana rindukan ‘rakan-rakan’ di pusat perlindungan.

Menurutnya, mereka juga menemu bual bakal pemilik untuk mengenal pasti sama ada individu itu tahu menjaga kucing dengan baik di samping memastikan haiwan berkenaan seboleh-bolehnya tidak dibiarkan bebas di luar rumah.

“Boleh ambil, tapi pastikan kucing tu dijaga dengan betul. Saya tak nak kucing tu nanti bila orang ambil, seperti kita ambil dari jalanan,” kata Zaiton Abd Mayas, pemilik Seri Talam Cat Cafe.

Tidak seperti Meraki Jelatek, Seri Talam Cat Cafe tidak lagi menghidangkan kuih talam mereka bersama-sama kucing. Sebaliknya haiwan terbabit ditempatkan di Cat Gallery yang terletak di tingkat atas kafe, dilengkapi beranda, bilik utama, bilik kuarantin dan tiga lagi bilik.

Untuk bermain dengan kucing-kucing terbabit, pelanggan perlu membayar caj masuk RM25 sejam. Bayaran itu meliputi makanan kucing dan juga mainan. Keuntungan daripada kafe dan caj masuk itu dibelanjakan untuk menjaga kebajikan si bulus terbabit termasuk kos perubatan.

Terdapat 120 ekor kucing di situ, justeru tidak menghairankan jika tidak semua orang boleh bertahan dengan baunya.

Sarimah Ibrahim yang mengunjungi Cat Gallery bersama keluarganya, gemar datang ke situ untuk bermain dengan si bulus terbabit kerana: “Kucing di rumah tidak boleh terima kucing lain.”

Papan tanda ‘Coffee, Cakes and Cats’ di depan Kafe Meraki Jelatek. Foto Facebook Huda Mansor

Maklum balas bercampur

Kafe kucing popular di Asia dengan kafe yang pertama dibuka di Taipei, Taiwan pada 1998 sebelum trend itu menular ke negara lain. Ia sangat popular di Jepun, di mana kebanyakan pangsapuri tidak membenarkan penghuninya membela haiwan kesayangan. Kafe model Jepun membenarkan kucing dan pelanggan berkongsi ruang sambil mereka menikmati makanan dan minuman. Model barat pula memisahkan kucing dan ruang pelanggan menjamah hidangan. Mereka selalunya mengenakan caj masuk kepada pelanggan yang mahu bermain dengan kucing-kucing tersebut.

Tidak ada data tentang jumlah kafe kucing di Malaysia, namun carian Internet menemukan sekurang-kurangnya 10 kafe seumpama di Lembah Klang.

Kewujudan kafe kucing ini menerima respons yang bercampur-campur daripada badan kebajikan kucing. Royal Society to Protect Animals (RSPCA) di kebanyakan negara misalnya, bimbang tentang kebajikan haiwan terbabit. Menurut mereka, mengurung terlalu banyak kucing di dalam satu ruang selain mendedahkan mereka kepada orang yang tidak dikenali mungkin menyebabkan haiwan terbabit stres. Akan tetapi, semua pihak yang berkenaan bersetuju perlu ada satu peraturan yang ketat bagi mengawal selia kafe sedemikian.

Karen berkata walaupun kebimbangan itu berasas, ia bergantung pada reka bentuk dan kelengkapan yang disediakan oleh pusat perlindungan dan kafe tersebut.

“Saya tidak tahu tentang tempat lain, tetapi semua kucing saya pandai bawa diri masing-masing. Mereka tidak dikurung sebaliknya bebas keluar masuk kafe,” katanya.

“Sebaiknya mereka dibiarkan bebas berkeliaran di dalam ruang tertutup yang besar berbanding di luar premis di mana mereka berisiko dilanggar kenderaan,” tambahnya.

Bagi Judith, isunya bukan kafe kucing semata-mata tetapi pemilik yang enggan memandulkan haiwan kesayangan mereka menyebabkan ramai yang bertindak membuang anak kucing dan anjing yang turut menyumbang kepada kesesakan di pusat perlindungan.

Kedua-dua kafe itu juga berdepan dengan mereka yang bertanyakan tentang kebersihan. Susulan itu, Seri Talam bertindak mengasingkan ruang kucing dan kafe, namun Meraki Jelatek bertegas dengan model Jepun, iaitu menghidangkan makanan di dalam ruang yang turut membenarkan kucing bebas berkeliaran.

Bernama mengunjungi kafe itu dan mendapati ia bersih selain ruangnya juga luas. Di samping itu, ada dua penapis udara besar yang beroperasi bagi menyedut segala kotoran dan bahan cemar lain. Semua meja pula dibersihkan dan disanitasi secara kerap. Selain itu, kafe tersebut juga menyediakan ruang khas untuk pelanggan yang tidak gemarkan kucing.

Pelanggan yang ditemu bual Bernama berkata mereka tidak kisah dengan kucing-kucing tersebut, dan masing-masing juga menyatakan suasana itu macam di rumah mereka. Kesemua mereka adalah pemilik kucing.

“Dah biasa, macam kat rumah,” kata Ayub Mamat ketika seekor kucing hanya sipi-sipi mengelak pinggannya yang berisi makanan.

-BERNAMA

 


Pengarang :