AGENDAJENAYAH

Op Kontraban: Lebih RM27 juta barangan dirampas minggu lalu, 23 ditahan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM27 juta dalam sembilan serbuan Op Kontraban di seluruh negara pada minggu pertama tahun ini dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan barangan bersubsidi.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 17 warga tempatan dan enam warganegara asing turut ditahan dalam operasi oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar, Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam itu.

“Keseluruhan rampasan bernilai RM27,400,605.20 melibatkan rampasan bernilai RM24,229,455.70 di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM971,149.50) dan Akta Racun 1952 (RM2,200,000),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas pula, polis menahan 306 individu dengan nilai rampasan RM132,707,431.40 menerusi operasi sama.

Katanya jumlah itu melibatkan rampasan bernilai RM68,047,396.60 di bawah Akta Kastam 1967, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 1967 (RM25,000), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (RM2,855,370), Akta Bahan Letupan 1957 (RM7,576,222) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM40,360,702.80).

– BERNAMA


Pengarang :