AGENDAJENAYAH

Op Limau: Polis tahan 120 individu terlibat judi haram

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 120 individu disyaki terlibat kegiatan perjudian haram dan merampas wang tunai dianggarkan bernilai RM92,481 dalam Op Limau sempena Tahun Baharu Cina.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata mereka terdiri daripada 115 lelaki dan lima wanita tempatan ditahan dalam operasi yang bermula pada Ahad hingga Khamis lepas.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama sebanyak 20 serbuan mengekang kegiatan itu telah berjaya dilaksanakan.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras kegiatan perjudian (haram) yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan serta judi tempat terbuka yang tertakluk di dalam jadual pertama dan kedua di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (judi dalam bangunan) dan Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (judi luar bangunan),” katanya dalam kenyataan semalam.

Noorsiah berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani kegiatan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perjudian haram diminta menghubungi Hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477.

– BERNAMA

 


Pengarang :