Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar mengadakan sekatan jalan raya menerusi Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina di Stesen LRT Bangsar menghala ibu negara pada 21 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Op Selamat 19: Dua kematian, 809 kemalangan dan 7,998 saman hingga semalam

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Sebanyak 809 kemalangan jalan raya dengan dua kes kematian direkodkan di sekitar ibu negara, sepanjang empat hari pelaksanaan Op Selamat ke-19 sejak Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Saleh berkata kedua-dua kes kematian itu berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Besraya melibatkan penunggang motosikal.

“JSPT akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan supaya dapat meminimumkan kes kemalangan dan kematian dalam Op Selamat kali ini.

“Bagi tujuan itu JSPT menempatkan anggota di enam lokasi yang telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan iaitu di Jalan Duta, Jalan Pahang, Jalan Cheras, Jalan Kuching, Jalan Syed Putra dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Stesen LRT Bangsar, di sini awal pagi tadi.

Sementara itu, 1,899 saman telah dikeluarkan dalam operasi SJR malam tadi termasuk di dua lokasi lain iaitu di Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang, di sini, menjadikan jumlah keseluruhan 7,998 saman dikeluarkan sepanjang Op Selamat kali ini, membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya.

Beliau berkata sebanyak 28 tangkapan juga dilakukan iaitu 19 kes mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, enam kes (Seksyen 42 APJ 1987) dan tiga kes (Seksyen 108 APJ 1987).

Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai 18 sehingga 27 Januari secara serentak di seluruh negara dan telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di Ayer Keroh, Melaka pada 13 Januari lalu.

– BERNAMA


Pengarang :