Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Op Selamat 19: Polis tahan 16 individu kerana dadah di Machang

KOTA BHARU, 23 JAN: Polis menahan 16 individu kerana penyalahgunaan dadah sepanjang tiga hari Op Selamat 19 dilaksanakan di jajahan Machang pada 19 hingga 21 Jan lepas.

Ketua Polis Machang Supt Mohd Adli Mat Daud berkata daripada jumlah itu empat suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dua suspek lagi disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala 10 suspek pula disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 18 dan 45 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata Op selamat 19 itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Selain itu, katanya dua tangkapan berkait kes jenayah turut dilakukan pada operasi itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Bagi kesalahan lalu lintas pula, 177 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan menggunakan alat komunikasi ketika memandu,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :