Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunarajah menyampaikan sumbangan kepada penduduk termasuk mangsa banjir pada program masak nasi manis sempena menyambut perayaan Ponggal di Kuil Devi Sri Maha Kaligambal Alayam, Klang pada 16 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Orang ramai dijemput meriahkan pesta Ponggal DUN Sentosa Ahad ini

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 26 JAN: Orang ramai sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dijemput menghadiri Pesta Ponggal Perpaduan Ahad ini.

Wakil Rakyatnya Dr Gunaraj George berkata majlis berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa, Taman Sri Mewah 4, Klang bermula jam 4 petang.

“Aktiviti ini bertujuan membantu meningkatkan prasarana selain menggalak dan memberi kesedaran kepentingan menanam sikap saling membantu antara satu sama lain.

“Kita juga mahu penduduk dan anak muda pelbagai kaum serta agama memupuk perasaan saling menyayangi, hidup bersama sebagai satu keluarga serta menjalin silaturahim termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Gunaraj berkata pihaknya berharap agar semua komuniti dan pertubuhan di DUN terbabit hadir memeriahkannya.

Perayaan Ponggal disambut semasa musim menuai oleh masyarakat India di Tamil Nadu sebagai tanda terima kasih kepada alam semula jadi yang disambut pada hari pertama bulan ke-10 dikenali sebagai Thai menurut kalendar Tamil.

Ponggal adalah nama nasi manis yang ditanak bersama susu menggunakan periuk tanah. Di Malaysia, perayaan ini dianggap sebagai sebahagian festival melibatkan pelbagai kaum.


Pengarang :