Anggota Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS menyita barang jualan penjaja warga asing yang masih berdegil berniaga secara haram di kawasan Jalan Besar Selayang Baru, Selayang dalam operasi pada 3 Januari 2023. Foto MPS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Padah niaga secara haram, MPS sita barang jualan penjaja warga asing

SHAH ALAM, 5 JAN: Kedegilan penjaja warga asing yang masih berniaga secara haram di sekitar Jalan Besar Selayang Baru, Selayang mengundang padah apabila barang jualan disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi kelmarin.

Bahagian perhubungan awam dan jabatan korporatnya berkata tindakan dibuat mengikut Seksyen UUK3 Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebanyak 45 bakul pelbagai jenis sayur-sayuran, empat bakul kelapa serta beberapa alatan seperti meja, penimbang dan payung milik penjaja terbabit disita.

“Kesemua penjaja warga asing dikenakan tindakan kerana didapati menjalankan perniagaan di kawasan petak parkir sehingga menimbulkan isu kacau ganggu, kebersihan dan kesesakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Memandang serius terbabit, MPS memaklumkan akan terus memantau selain menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa.

PBT itu turut mengingatkan semua peniaga dan penjaja supaya mendapatkan permit sah MPS sebelum menjalankan perniagaan.

“Selain itu memastikan aspek kebersihan kawasan sekitar dijaga dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam,” katanya lagi.

 


Pengarang :