Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Padah tawar rasuah rantai emas, pekerja pasar mini didenda RM30,000

ALOR SETAR, 18 JAN: Seorang pekerja pasar mini didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menawarkan suapan seutas rantai leher emas bernilai lebih RM4,000 kepada seorang anggota polis pada September tahun lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap V Sancheev, 26, dan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, manakala rantai leher emas itu perlu dilucutkan hak kepada pihak kerajaan.

Mengikut pertuduhan itu, Sancheev didakwa menawarkan suapan seutas rantai leher emas bernilai RM4,649.95 kepada Sub Inspektor Abdullahtip Abdullah yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Ia sebagai balasan untuk melepaskannya daripada dikenakan tindakan kerana kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sancheev didakwa melakukan perbuatan itu pada 2 petang, 7 Sept tahun lepas di dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Sepuluh, di sini yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur manakala Sancheev tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :