Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menghadiri mesyuarat dua hala di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada 27 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pahang dan Selangor tumpu isu keselamatan cerun, tanah tinggi di sempadan negeri

KUANTAN, 27 JAN: Keselamatan cerun dan kawasan tanah tinggi di sempadan Pahang dan Selangor antara tumpuan kerjasama dua hala yang dipersetujui oleh kedua-dua negeri, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kedua-dua negeri juga bersetuju untuk membangkitkan isu keselamatan cerun di peringkat Persekutuan termasuk mengaktifkan Majlis Cerun Negara supaya pihak Persekutuan dapat membantu Pahang dan Selangor dalam perihal berkenaan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pula berkata pembangunan lokaliti kawasan tinggi antara dua negeri itu penting untuk diseragamkan bagi tujuan keselamatan bersama.

“Kawasan (tanah) tinggi seperti Genting Highlands hendak diseragamkan atau dikoordinasikan bukan hanya dari segi pembangunan tetapi juga dari segi peraturan, undang-undang dan pemantauan.

“… ini kerana kedua-dua negeri mengalami dan berdepan dengan potensi risiko yang hampir sama dan pada masa sama, juga (Selangor dan Pahang) mempunyai potensi yang hampir sama baik,” katanya.

Wan Rosdy dan Amirudin berkata demikian pada sidang media bersama selepas menghadiri Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Selain keselamatan cerun dan tanah tinggi, Wan Rosdy berkata mereka juga membincangkan isu pendakian di hutan simpan yang bersempadanan antara Pahang dan Selangor kerana terdapat kumpulan mendaki tanpa permit yang akan menyukarkan kedua-dua negeri, jika berlaku perkara tidak diingini.

Isu penguatkuasaan bersama lori balak lebih muatan, perbincangan penandaan semula sempadan kedua-dua negeri dan penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor yang dijangka bermula pada tahun depan, turut dibincangkan pada mesyuarat itu.

Wan Rosdy berkata kedua-dua negeri juga bersetuju untuk meningkatkan peluang kerjasama antara anak syarikat milik kerajaan negeri dalam pelbagai aspek termasuk sekuriti makanan.

“Kita boleh saling belajar… contohnya dari segi ekonomi dan industri, Selangor lebih ke hadapan dari kita (Pahang) dan pelancongan boleh (dipelajari) dari Pahang,” katanya.

Wan Rosdy berkata beberapa jawatankuasa teknikal berkaitan isu dibangkitkan pada mesyuarat dua hala juga dibentuk, bagi memperhalusi beberapa perkara sebelum ia dibincangkan kembali pada pertemuan kedua mereka.

— BERNAMA


Pengarang :