Keadaan di Taman Desaru Utama, Kota Tinggi yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi ketika tinjauan pada 24 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pahang negeri terbaharu dilanda banjir selepas Johor, Sabah

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir selepas Johor dan Sabah menjadikan tiga negeri kini terjejas dengan bencana itu ekoran hujan lebat yang berterusan.

Di Pahang, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Rompin bagi menempatkan 97 mangsa daripada 28 keluarga.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Kampung Setajam iaitu 50 orang daripada 15 keluarga, manakala PPS Balai Raya Bukit Lepas dihuni 40 orang daripada 11 keluarga dengan kedua-dua PPS itu mula beroperasi petang ini.

Tujuh lagi mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya, sejak tengah malam tadi selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Laman web portal rasmi info banjir JPS publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin direkodkan pada aras 23.19 meter (m), melebihi aras bahaya 23m yang ditetapkan.

Di Johor, Muar menjadi daerah keenam dilanda banjir selepas Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,368 orang dengan ditempatkan di 44 PPS berbanding 3,967 orang, tengah hari tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,522 orang (424 keluarga), diikuti Kluang 1,222 orang (348 keluarga) dan Mersing 708 orang (221 keluarga).

Sementara itu, di Kota Tinggi, jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 591 orang daripada 144 keluarga, Muar 206 orang (46 keluarga) manakala Batu Pahat 119 orang (35 keluarga).

Pada masa sama, paras air di empat sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.20m, Sungai Segamat (9.22m), Sungai Segamat di Segamat Kecil (37.34m) manakala Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang adalah 16.12m.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 607 daripada 139 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS petang ini berbanding 166 orang daripada 41 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan pertambahan itu selepas Kudat menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu petang ini dengan 381 orang daripada 77 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Sebanyak 147 orang daripada 41 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Paitan manakala 79 orang daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Pitas.

“Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS dijangka meningkat dengan tujuh PPS telah diaktifkan di daerah Kota Marudu dan kini dalam proses pemindahan mangsa serta kemas kini data,” menurut kenyataan itu.

Hujan lebat pada petang ini turut menjadikan paras air di Sungai Rampai, Kampung Korina, Sikuati di Kudat naik mendadak dan beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir termasuk Kampung Bak-Bak, Kampung Milau dan Kampung Naradang.

Selain itu, Kampung Popot di Kudat dilaporkan terputus hubungan apabila semua jalan darat ke kampung itu ditenggelami banjir.

Sebelum ini Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan lima jalan di Kudat iaitu Jalan Abdul Rahim, Jalan Sebayan, Jalan Datu, Jalan Bak Bak dan Jalan Lo Thein Chok terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat banjir hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :