ADN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menunjukkan tapak pasar malam yang bakal dibuka bulan depan di tempat letak kenderaan Seksyen 8, Petaling Jaya pada 12 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pasar malam baharu di Seksyen 8, Petaling Jaya beroperasi Februari

PETALING, 12 JAN: Sebuah tapak pasar malam baharu di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing bakal beroperasi Februari ini di tempat letak kenderaan Seksyen 8, Petaling Jaya.

Wakil Rakyatnya Rajiv Risyakaran berkata pasar malam itu dibuka setiap Sabtu dari jam 4.30 petang hingga 10 malam dan yang kedua di bawah DUN itu selepas Seksyen 17 Petaling Jaya.

“Rata-rata penduduk minta saya wujudkan pasar malam di kawasan ini memandangkan pasar malam Seksyen 17 Petaling Jaya agak jauh.

“Lebih setahun perancangan kita buat untuk mewujudkan sebuah tapak pasar malam ini selepas mengambil kira kesesuaian kawasan, maklum balas penduduk dan peniaga sekitar yang rata-ratanya menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pemberitahuan lokasi baharu pasar malam di tempat letak kenderaan Seksyen 8, Petaling Jaya, di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 57 tapak niaga disediakan di pasar malam terbabit meliputi pelbagai jenis perniagaan antaranya barangan kering dan basah.

“Kawasan ini mungkin sedikit padat ketika siang tetapi malam ia agak sunyi dan sebab itu kita mengambil keputusan untuk mewujudkan pasar malam di sini.

“Selain itu, kawasannya juga strategik banyak parkir dan tidak mengganggu lalu lintas termasuk boleh membantu memeriahkan lagi suasana di sini pada malam hujung minggu,” katanya.


Pengarang :