AGENSISELANGOR

Pasar Tani Taman Tasik Cyberjaya tawar barangan segar berkualiti, harga berpatutan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 7 JAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Daerah Sepang membuka tapak mingguan kekal menjual pelbagai barangan basah dan kering selain hasil pertanian tempatan di Taman Tasik Cyberjaya bermula 15 Januari ini.

Agensi itu memaklumkan pasar tani di Tapak Market by The Lake itu akan beroperasi setiap Ahad mulai 7 pagi sehingga 1 tengah hari.

Menurut FAMA Daerah Sepang, Pasar Tani Taman Tasik Cyberjaya itu turut menawarkan barangan runcit, pasarina yang menjual pakaian wanita serta kanak-kanak, produk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) selain nurseri.

“Semua warga Cyberjaya dan penduduk sekitar dijemput hadir. Dapatkan barangan keperluan harian dengan harga berpatutan, segar dan berkualiti,” kata agensi itu di Facebook.

Menerusi hantaran itu, FAMA Daerah Sepang turut memaklumkan antara barangan segar yang dijual adalah ayam, daging, ikan dan hasil laut, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai juadah seperti makanan Pantai Timur, aneka mi dan sup gear box, Rojak Singapura dan nasi lemak.


Pengarang :