Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pejabat tanah negeri tingkat kecekapan perkhidmatan, sokong pembangunan hartanah

SHAH ALAM, 26 JAN: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) yang baharu bakal memudahkan permohonan, semakan serta bayaran urusan tanah sekali gus meningkatkan hasil negeri.

Pengarahnya Dr Yusri Zakariah berkata pengubahsuaian pejabat di tingkat satu Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, seiring aspirasi untuk memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada pelanggan.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor Dr Yusri Zakariah. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Contohnya pelaksanaan Kaunter Pusat Perkhidmatan Setempat (SPOC) dan sebahagian daripada Sistem e-Tanah adalah diantara fasiliti yang akan ditawarkan oleh PTGS hasil daripada projek pengubahsuaian ini.

“Kaunter SPOC menyediakan kemudahan perkhidmatan pelanggan yang komprehensif kepada pelanggan PTGS dan membolehkan semua urusan berkaitan tanah dapat dilakukan pada satu kaunter berbanding sebelum ini memerlukan mereka berurusan di pelbagai kaunter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kerja pengubahsuaian pejabat baharu PTGS di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim.

Sementara itu, Yusri menjelaskan bangunan PTGS itu juga menempatkan sistem Smartbox yang menjalankan urus niaga secara dalam talian dengan menggunakan kaedah FPX serta penyerahan di kiosk Smartbox.

“Selain itu, kita menawarkan perkhidmatan sehenti kepada rakyat bagi urusan carian persendirian, semakan status permohonan atau urusan, serahan permohonan dan pembayaran cukai tanah.

“Ia bukan sahaja menambah baik proses pendaftaran pemilikan hartanah, malah dapat memudahkan pihak pelabur untuk melaksanakan urusan tanah dan seterusnya menyokong pembangunan dan kemajuan sektor hartanah di Selangor,” katanya.


Pengarang :