Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina 2023 di Dewan Megawati, Shah Alam pada 17 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pekawanis agih RM308,000 bantu penduduk sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 17 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk sejumlah RM308,000 bagi sumbangan perayaan Tahun Baharu Cina 2023.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan itu memanfaatkan 1,320 penduduk dari 44 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan masing-masing menerima RM200 selain keperluan asas.

Beliau menjelaskan peningkatan sebanyak RM132,000 berbanding tahun lalu dibuat bagi memastikan lebih ramai penduduk negeri ini menerima sumbangan tersebut.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima dalam membuat persiapan bagi meraikan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya ditemui di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Sementara itu, suri rumah Ng Sow Khean, 42, pula menganggap bantuan itu amat bernilai buatnya untuk membeli keperluan harian terutama makanan menjelang perayaan tersebut.

“Mungkin bagi orang lain bantuan ini kecil tetapi bagi saya jumlahnya besar dan boleh belanja beli makanan, minuman bagi persiapan hari raya,” katanya.

Seorang warga emas Henry Tan, 68, yang baharu pertama kali menerima bantuan Kerajaan Negeri pula teruja dan menganggap ia sebagai rezeki perayaan.

“Saya rasa ini rezeki sempena Tahun Baharu Cina. Terima kasih Pekawanis kerana bermurah hati membantu kaum Cina dalam menyambut perayaan,” katanya.


Pengarang :