Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina 2023 anjuran Pekawanis di Dewan Megawati, Shah Alam pada 17 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis peruntuk lebih RM200,000 bantuan kembali ke sekolah

SHAH ALAM, 17 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk lebih RM200,000 untuk bantuan kembali ke sekolah tahun ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata dijangka 30 pelajar dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima bantuan terbabit.

Menurutnya, setiap penerima itu bakal menerima manfaat tunai yang kini ditingkatkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini.

“Sumbangan ini juga bagi meringankan beban ibu bapa untuk membuat persiapan anak sekolah. Insya-Allah, sumbangan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis sumbangan perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Sementara itu, Masdiana berkata pihaknya juga akan meneruskan program Ziarah Medik yang dijangka bermula Mei tahun ini di 47 DUN.

“Susulan sambutan yang diterima sebelum ini maka kita akan meneruskan lagi program itu supaya lebih ramai pesakit kronik dibantu,” katanya.

Tahun lalu, Pekawanis memperuntukan RM200,000 bagi membantu pesakit kronik membeli ubat dan keperluan diri.

Program itu mengutamakan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).


Pengarang :