Guru Norshahinaz Mohammad Azinan dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading bergambar bersama selepas memenangi lima anugerah terbaik 2022 pada Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelajar SMK Bukit Gading juarai anugerah ketua pegawai eksekutif terbaik PROTUNe

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 JAN: Sikap gemar mencuba perkara baharu dan keluar dari zon selesa antara faktor Mior Muhammad Naufal Mior Abdul Rahman, 17, bergiat aktif dalam Program Tunas Niaga (PROTUNe).

Lebih membanggakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading ini muncul juara ketua pegawai eksekutif terbaik.

Muhammad Naufal ketika ditemui berkata beliau tidak menyangka dirinya terpilih memandangkan program bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) disertai 50 sekolah dari seluruh Selangor.

“Secara jujurnya tugas sebagai ketua pegawai eksekutif menuntut komitmen yang tinggi kerana perlu uruskan kewangan, akaun selain berurusan dengan ahli dan guru-guru.

“Dalam masa sama saya perlu beri tumpuan terhadap pelajaran. Namun ia bantu saya bijak bahagi masa dan fokus laksana tanggungjawab.

“Saya tidak lihat ini sebagai masalah walaupun hakikatnya saya galas tanggungjawab besar,” katanya pada Majlis Konvensyen PROTUNe ke-24 di sini, semalam.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading Norshahinaz Mohamad Azinan (kiri) dan pelajar Mior Muhammad Mior Abdul Rahman menerima anugerah guru pembimbing terbaik 2022 dan anugerah ketua pegawai eksekutif terbaik 2022 di Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Muhammad Naufal berkata kemenangan itu juga berkat sokongan guru dan rakan yang banyak membantunya memastikan syarikat Aura Gading Sdn Bhd berjalan lancar.

Pelajar yang turut aktif dalam debat dan catur itu tidak melihat cabaran dihadapi dalam mengurus syarikat sebagai beban sebaliknya berusaha menambah baik rintangan itu dengan mengemukakan penyelesaian.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata ahli pengurusan syarikat juga tidak jemu mencari produk sesuai untuk diketengahkan selepas pengetua mengesyorkan agar menukar produk jualan sebelum ini.

“Guru- guru banyak bimbing agar kami sentiasa proaktif, kreati,f inovatif dalam mencari idea baharu bagi jana keuntungan syarikat.

“Hasil perbincangan kami tampil dengan idea menjual sate kebab yang kini menjadi produk terlaris yang mampu meraih keuntungan hingga RM2,000 menerusi jualan antara 500 hingga 1,000 batang sate kebab sehari.

“Malah galakan dan peluang diberikan pengetua membuatkan kami berani kembangkan perniagaan dengan adakan jualan luar sekolah selain aktif buka gerai sekiranya ada program-program di sekolah dan buat majlis hari lahir dengan jual jambangan bunga,” katanya.


Pengarang :