AGENDANASIONAL

Pelajar umur 16 tahun maut motosikal langgar kerbau

SEPANG, 7 JAN: Seorang remaja maut apabila motosikal ditungganginya berlanggar dengan seekor kerbau di Jalan Dengkil Air Hitam di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan berkata dalam kejadian 1.30 pagi tadi, pelajar lelaki berusia 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Lagenda itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Menurut siasatan awal, katanya mangsa yang menunggang seorang diri dari arah Dengkil menghala balik ke rumahnya di Taman Dengkil Jaya telah melanggar seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik akibat kecederaan pada bahagian kepala,” katanya dan menambah mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA


Pengarang :