Pelakon popular Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 18 Januari 2023 atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, pada 16 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelakon Sharnaaz didakwa cederakan pengawal keselamatan

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Pelakon drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sharnaaz, yang berbaju kemeja biru gelap dan berseluar hitam, kelihatan tenang sepanjang prosiding itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM5,000 manakala peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis dijalankan.

“Anak guam saya telah ditangkap sekitar Jun 2022 dan selepas enam bulan baharu beliau dituduh. Dia telah direman selama empat hari dan tiada risiko untuk anak guam melarikan diri.

“Pihak pembelaan juga bercadang untuk menghantar representasi kepada pendakwaan untuk mengkaji semula pertuduhan,” kata peguam itu yang hadir bersama seorang lagi peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff.

Menurut Abu Bakar, anak guamnya, bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun, kini sedang menjalani penggambaran filem ‘The Original Gangster’.

Mahkamah membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan bagi serahan dokumen.

– BERNAMA


Pengarang :