Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kiri) membuat cabutan menerusi sistem e-Cabutan untuk memilih pemenang dalam kalangan pembayar cukai taksiran pada 30 Disember 2022. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

Pelbagai hadiah menarik termasuk empat motor menanti pembayar cukai taksiran MPAJ

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 9 JAN: Orang ramai berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk empat motor menerusi cabutan bertuah selepas membayar cukai taksiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Yang dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata inisiatif berkenaan bagi menghargai mereka yang komited membayar cukai mengikut masa sekali gus bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada warga Ampang Jaya.

“Bagi menghargai pembayar cukai yang terus komited membayar cukai taksiran mengikut tempoh masa ditetapkan, MPAJ akan meneruskan cabutan bertuah cukai taksiran MPAJ tahun ini.

“Pelbagai hadiah menarik ditawarkan antaranya jam jenama Garmin serta pembersih hampagas Dyson selain hadiah utama empat motosikal Honda Vario 150,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Fauzi berkata pemilik harta disaran menjelaskan cukai taksiran mengikut tempoh mulai 1 Januari hingga 28 Februari ini bagi penggal pertama dan penggal kedua pada 1 Julai hingga 31 Ogos.

Beliau menambah, MPAJ menyasarkan meraih pendapatan RM87.5 juta hasil perolehan kutipan cukai taksiran tahun ini selain mengutip RM17 juta tunggakan cukai taksiran.

Laporan hasil cukai MPAJ tahun lalu mencatatkan peningkatan keseluruhan sebanyak RM11.3 juta dengan kadar peningkatan 12.6 peratus berbanding 2021.

Kutipan semasa cukai taksiran bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November lalu mencatatkan RM76.5 juta manakala kutipan tunggakan cukai taksiran RM 24.4 juta.


Pengarang :