Penyokong skuad Harimau Malaya yang hadir bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

‘Pemain ke-12’ suntik semangat Harimau Malaya untuk mencipta kejayaan

KUALA LUMPUR, 7 JAN: ‘Kehilangan’ hampir 21,000 suara langsung tidak mematahkan semangat penyokong untuk menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi medan pertembungan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand, malam ini.

Seorang penyokong tegar daripada pasukan Ultras Malaya, Abang Mohd Zulfardy Abang Shamsu, 38, berkata jumlah kehadiran penonton bukan menjadi perkara pokok kerana baginya semangat ‘pemain ke-12’ yang menggemakan stadium mampu memberikan aspirasi kepada skuad Harimau Malaya untuk mencipta kejayaan.

“Saya yakin semangat ‘ekor’ kita mampu menggegarkan stadium. Saya jangka Malaysia menang 3-0 seterusnya layak ke final.

“Bagaimanapun, doa rakyat Malaysia itu yang penting dalam menentukan kejayaan pasukan kita pada Piala AFF 2022,” katanya ketika ditemui Bernama.

Operator kilang Muhd Hakimi Jalil, 24, yakin kehadiran penonton walaupun stadium tidak penuh pada malam ini tetap akan menggerunkan skuad Gajah Perang.

“Walaupun stadium tidak penuh, kami akan pastikan sorakan penyokong kita mampu menakutkan pemain Thailand. Insya-Allah Malaysia menang 2-0,” katanya yang datang dari Kuantan, Pahang bagi menyaksikan perlawanan itu.

Eksekutif pemasaran dari Shah Alam, Nurul Aina Sharbini, 28, percaya kontroversi berhubung penjualan tiket perlawanan separuh akhir baru-baru ini memberi hikmah kepada Malaysia untuk menjulang kejuaraan Piala AFF kali ini.

Penyokong skuad Harimau Malaya yang hadir bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Januari 2023. Foto BERNAMA

Sementara itu, tukang masak dari Kuala Terengganu, Azman Nawawi, 45, berharap pihak stadium mampu memastikan padang berada dalam keadaan baik sekiranya Malaysia layak ke final.

“Konsert akan berlangsung 15 Januari ini dan jika Malaysia masuk final mungkin main keesokan hari (16 Januari). Jadi saya harap pihak stadium mampu pastikan padang tidak rosak,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman pada Rabu lepas memaklumkan, 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjelaskan pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan telah ditempah awal oleh pihak penganjur artis terkenal dari Taiwan itu sejak Mac 2019 malah turut melibatkan jumlah kru yang ramai.

– BERNAMA


Pengarang :