Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (empat, kiri) berkenan menyampaikan trofi Raja Muda Selangor kepada pasukan Malaysia yang menjuarai kategori pasukan lelaki pada Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 8 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemain kumpulan lelaki juarai kejohanan golf remaja antarabangsa Selangor

PETALING JAYA, 8 JAN: Pemain berpasukan lelaki negara menjuarai Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor di sini.

Muhammad Hariz Muhummad Hezri, Nor Haqiem Hadi, Muhammad Ajmal Amin dan Syed Nor Ismail berjaya menumbangkan pasukan Korea Selatan dengan mengumpul 683 mata keseluruhan.

Manakala kategori berpasukan wanita pula dimenangi Korea Selatan dengan masing-masing membawa pulang trofi Raja Muda Selangor.

Juara lelaki keseluruhan dimenangi Wang Yixiang dari China yang berjaya mendapat slot ke Kejohanan Golf Selangor Masters.

Juara keseluruhan wanita pula disandang Yiji Park dari Korea Selatan yang juga berpeluang ke Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia ke-119.

Pasukan Malaysia menjuarai kategori pasukan lelaki pada Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 8 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Piala kejohanan disampaikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Turut hadir EXCO Sukan Khairuddin Othman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Seramai 105 pemain remaja berusia 12 hingga 18 tahun berentap dalam kejohanan yang membuka tirai 5 Januari hingga 8 Januari.

Kejohanan anjuran UUM International School Melaka (UUMISM) dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) membabitkan pemain dari Malaysia, Korea Selatan, Singapura, Filipina dan Indonesia bagi kategori berkumpulan.

Manakala kategori individu disertai pemain dari India, Kanada, Hong Kong, China, Jepun termasuk Malaysia.


Pengarang :