Noor Al-Rawabdeh pemain import pertama diikat Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Pemain tengah Jordan sertai Red Giants, perkuat pasukan hadapi saingan Liga-M

SHAH ALAM, 12 JAN: Pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh, menjadi pemain import pertama diikat Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), dalam kenyataan melalui portal rasminya hari ini, memaklumkan pemain berusia 26 tahun itu adalah pemain terbaru keempat dipilih menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu selepas Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran dan Mohamad Faisal Abdul Halim.

Menerusi kenyataan yang sama, Cheng Hoe berkata penambahan Noor yang digelar ‘The Engineer’ akan memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan.

“Kita tahu dalam sebuah pasukan, bahagian tengah sangat penting bagi menggerakkan pasukan, jadi saya yakin beliau ada kualiti untuk beraksi dengan baik bersama pasukan. Saya berharap beliau akan menghasilkan bahagian tengah pasukan yang kuat bersama rakan pasukan yang lain.

“Kita juga tahu Noor dan Yazan (Yazan Al-Arab) merupakan rakan sepasukan bersama pasukan Jordan. Saya yakin dengan kombinasi dua pemain ini, mereka mampu membuat pergerakan yang baik dari pertahanan ke bahagian tengah pasukan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan itu, pemain berketinggian 1.82 meter itu berharap dapat memberikan yang terbaik serta membanggakan kelab dan penyokong.

“Saya dengar perkara baik mengenai pasukan Selangor FC, oleh itu saya pilih untuk berada di sini. Saya juga teruja untuk berjumpa dengan para penyokong Gergasi Merah tidak lama lagi. Saya berharap penyokong akan bangga dengan pasukan musim ini,” katanya.

Sebelum ini, Noor pernah beraksi dalam saingan Piala AFC selama tiga musim bersama Al Jazeera sejak 2017 dan beliau kemudian menjadi antara nadi utama pasukan Al-Muharraq SC yang menjuarai Piala AFC 2021. – BERNAMA

 

 

 


Pengarang :