Pengurus Besar Unit Projek Khas MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz mendengar taklimat ringkas Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan pada sesi libat urus pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di SACC Mall, Shah Alam pada 26 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam ambil kira cadangan orang ramai

SHAH ALAM, 26 JAN: Segala cadangan dan maklum balas orang awam berkenaan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan diteliti sekiranya bersesuaian.

Pengurus besar unit projek khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata setiap aspek dan komponen diambil kira terutamanya hasil sesi libat urus awam projek pembangunan KSSA.

Pengurus Besar Unit Projek Khas MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Orang ramai dijemput datang dan beri maklum balas supaya kami dapat menilai dan meneliti keperluan untuk masukkan dalam pembangunan projek,” kata Datuk Roslan Abdul Aziz kepada Selangorkini.

Beliau berkata MBI bercadang untuk melaksanakan jerayawara sesi libat urus awam pembangunan KSSA di setiap daerah bagi memastikan rakyat Selangor mengambil peranan dalam projek tersebut.

“Projek pembangunan KSSA ini bukan hanya mengenai stadium, tetapi ia akan mempunyai kawasan rekreasi, riadah, dan perniagaan. Ia untuk semua,” katanya.

Sesi libat urus awam KSSA dibuka hari ini sehingga 10 Februari hadapan di pusat beli belah SACC Mall bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

MBI sebelum ini turut mengalu-alukan orang ramai memberi maklum balas yang boleh dikongsi melalui e-mel [email protected] .

Pada 5 Januari, Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan semula KSS termasuk stadium negeri akan bermula pada suku pertama tahun ini.

Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, projek KSSA akan dilaksana secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam.

Beliau turut menjelaskan sejumlah RM787 juta kos digunakan untuk membaik pulih bangunan dan kemudahan lain  di stadium terbabit antaranya meninggikan platform stadium 1.5 meter bagi mengelak bah berulang selain menukar sistem pendawaian elektrik.


Pengarang :