Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembelian terhad barang jualan murah bagi pastikan pembahagian adil kepada pembeli

KUALA LANGAT, 21 JAN: Pembelian terhad untuk beberapa barang asas yang ditawarkan di Jelajah Ehsan Rakyat bagi memastikan pembahagian adil kepada setiap pembeli.

Pembantu Tadbir Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata barangan seperti telur ayam dan ayam standard antara produk paling laris di jualan murah berkenaan.

“Setiap kali jelajah telur biasanya dihadkan sepapan bagi setiap pembeli untuk memastikan sekurang-kurangnya 300 pembeli pertama dapat membelinya. Ayam pula biasanya dihadkan dua ekor setiap pembeli.

“Hari ini dalam masa kurang sejam setengah telur, ayam dan beras habis dijual,” kata Muhammad Ashraf Naif Abd Rahim ketika ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di Jalan Desa 4, Taman Sri Desa hari ini.

Pembantu tadbir Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Muhamad Ashraf Naif Abd Rahim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Katanya, PKPS menyediakan 500 ekor ayam standard, daging pejal (300 pek), minyak masak 5 kg (150 botol), beras (300 kampit), ikan cencaru (300 pek) dan telur (300 papan) pada program itu.

“Barangan lain seperti minyak, daging dan ikan boleh dibeli secara runcit bukan borong iaitu dua atau tiga unit setiap pembeli,” katanya.

Petugas menyusun pelbagai barangan keperluan asas yang dijual dengan harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program itu menawarkan jualan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu yang berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di sekitar 56 DUN sebelum ini diteruskan hingga Mac depan.


Pengarang :