Pengurus Besar Unit Projek Khas MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz (sembilan, kanan) dan Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (lapan, kanan) bergambar bersama selepas sesi libat urus pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di SACC Mall, Shah Alam pada 26 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam, orang ramai diajak hadir kongsi idea

SHAH ALAM, 26 JAN: Orang ramai berpeluang melihat gambaran dekat Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menerusi sesi libat urus awam projek pembangunan berkenaan, bermula hari ini.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan cadangan projek itu akan dipaparkan melalui video 3D ‘flythrough’, papan informasi dan model konsep (scale model).

“Pengunjung boleh menilai dan berpeluang untuk memberikan maklum balas dan cadangan melalui kod imbasan QR yang disediakan oleh pihak MBI.

“Maklum balas dan cadangan awam yang relevan akan dimasukkan ke dalam pelan pembangunan KSSA, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri dan MBI yang peka kepada keperluan orang ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut agensi itu, projek pembangunan KSSA seluas 188 ekar bakal menempatkan stadium bertaraf dunia yang merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kawasan.

Katanya, baki 40 peratus adalah taman rekreasi dan ruang komersial yang diaspirasikan bagi menggalakkan interaksi dalam komuniti serta peluang keusahawanan kepada belia.

“Sesi libat urus awam ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan ketelusan dalam setiap urusan dan mencerminkan komitmen ke arah pentadbiran yang cekap serta berpaksikan kepentingan masyarakat umum,” katanya.

Tinjauan sesi libat urus Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di SACC Mall, Shah Alam pada 26 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sesi libat urus awam KSSA dibuka hari ini sehingga 10 Februari hadapan di pusat beli belah SACC Mall bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

MBI sebelum ini turut mengalu-alukan orang ramai memberi maklum balas yang boleh dikongsi melalui e-mel [email protected] .

Pada 5 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan semula KSSA termasuk stadium negeri akan bermula pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata pihaknya menunggu proses kebenaran merancang (KM) sebelum pembangunan semula kemudahan itu dilaksanakan.

 


Pengarang :