Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim berucap dalam Mini Karnival Pembaharuan Lesen Perniagaan MPAJ di Ampang pada 21 Disember 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pemilik biarkan rumah, tanah kosong semak-samun boleh dikompaun

SHAH ALAM, 6 JAN: Pemilik rumah atau tanah kosong yang terbiar sekitar Ampang Jaya boleh dikompaun jika gagal membersihkan premis masing-masing dalam tempoh 14 hari notis dikeluarkan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim memaklumkan aduan berkenaan kacau ganggu itu akan disemak terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

Beliau menegaskan pembersihan akan dilaksana bagi menghapuskan kacau ganggu seperti seperti tempat pembiakan nyamuk atau risiko kehadiran haiwan berbisa jika pemilik ingkar pada notis.

“(Selepas itu), surat pemberitahuan kompaun bawah Seksyen 82 (5) dan caj pembersihan bawah Seksyen 82 (4) kepada pemilik akan dikeluarkan.

“Pemilik perlu hadir ke MPAJ bagi urusan kompaun. Tindakan mahkamah akan diteruskan sekiranya pemilik gagal menyelesaikan kompaun itu,” katanya dalam kenyataan, tanpa menyatakan jumlah kompaun.

Mohd Fauzi menjelaskan caj pembersihan ditanggung pihak majlis iaitu RM214 bagi kediaman, tanah kosong kurang satu ekar (RM250) dan RM500 bagi keluasan lebih satu ekar.

 


Pengarang :