Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin bergambar dengan keluarga dan penerima Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) Si Manja Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang pada 21 Januari 2023. Foto Facebook YB Rozana Zainal Abidin, ADUN Permatang
ADNSELANGOR

Pemohon bantuan Tawas diminta kemas kini nombor telefon setiap dua tahun

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 23 JAN: Keluarga penerima Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) Si Manja Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) diminta mengemas kini maklumat terutama nombor telefon mereka setiap dua tahun agar dapat dihubungi semasa urusan menuntut bantuan.

Wakil rakyat Permatang berkata kemas kini itu perlu dilakukan kerana nama penerima PBMS didaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa tahun kelahiran sehingga usia tiga tahun dan bantuan pula dituntut antara tiga hingga enam tahun kemudian.

“Dalam tempoh itu mungkin nombor telefon atau alamat keluarga penerima telah bertukar, jadi mereka yang mungkin terlupa pernah mendaftar dengan PBMS tidak dapat dimaklumkan mengenai tuntutan tersebut,” kata Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi.

Rozana berkata demikian berikutan majlis PBMS bagi Si Manja Tawas yang dilahirkan pada 2016 di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang semalam hanya dihadiri kira-kira 150 penerima sedangkan nama yang didaftarkan lebih 500 orang.

“Saya dan pegawai pusat khidmat DUN Permatang serta kakitangan Yawas menunggu dari pukul 10 pagi hingga 4.30 petang namun hanya 150 yang datang menuntut beg serta peralatan sekolah yang disediakan.

“Saya rasa ralat kerana bantuan ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk bantu rakyat Selangor tetapi tidak dituntut walau pendaftaran telah dibuat kerana penerima tidak dapat dihubungi,” katanya.

Tawas yang diuruskan Yawas dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.


Pengarang :