Anggota bomba menggunakan anjing pengesan untuk mencari mangsa yang dilaporkan hilang di sungai berhampiran Masjid Lama Kampung Batu Bor, Bera, Kuantan pada 16 Januari 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang
AGENDANASIONAL

Pemuda dilapor hilang dua hari lepas ditemui lemas

KUANTAN, 16 JAN: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas di sungai berhampiran Masjid Lama Kampung Batu Bor, Bera ditemukan lemas pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi, 19, ditemukan pada 10.44 pagi oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa ditemukan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan Faizal Akmal Fikri yang beralamat di Kampung Bukit Lada, Temerloh, dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di sungai berkenaan pada Sabtu.

Mangsa dikatakan ke sungai itu menunggang motosikal berseorangan dan barangan peribadinya turut ditemukan di lokasi kejadian.

— BERNAMA


Pengarang :