Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air di Gombak, KL capai 92 peratus, jangka pulih sepenuhnya 9 malam

SHAH ALAM, 2 JAN: Status pemulihan bekalan air susulan kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park semalam mencapai 92 peratus setakat jam 3 petang hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan daerah Gombak mencapai 99 peratus manakala Kuala Lumpur 50 peratus dan bekalan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” maklum agensi itu di Facebook.

Air Selangor menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Pengguna juga diharap menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Semalam kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 83 kawasan sekitar wilayah Gombak dan Kuala Lumpur.


Pengarang :