Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Warung Tok Ramli Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor pada 18 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk akui berbaloi beli barangan di jualan murah, dapat jimat belanja dapur

KUALA SELANGOR, 18 JAN: Pengunjung Jualan Ehsan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati mengakui berbaloi berbelanja di jualan murah berkenaan.

Mohd Hasdi Abd Rashid, 64, berkata jualan di Kampung Assam Jawa di sini sangat membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya untuk berjimat.

“Sebenarnya pagi tadi saya datang minum di kedai ini dan ternampak jualan murah yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga amat murah berbanding pasaran.

“Tanpa membuang masa, saya terus ambil nombor giliran dan membeli semua barangan dijual. Jualan ini amat bagus kerana membantu rakyat dan berharap dapat membawa lebih banyak stok kerana menunggu agak lama,” katanya ketika ditemui hari ini

Suri rumah Azilah Sulaiman, 52, berkata beliau sebelum ini pernah datang ke jualan murah dan memang ternanti-nanti program ini kembali.

“Sebagai ibu tunggal yang bergantung dengan anak sudah pasti jualan ini meringankan beban kerana dapat mengurangkan perbelanjaan dapur.

“Saya berharap jualan ini diteruskan walaupun sebulan sekali di setiap daerah kerana ramai dapat manfaat dan harga ditawarkan juga murah walaupun di pasaran harga barangan semakin meningkat,” katanya.

Bagi pemandu lori Sia Kang Hai, 65, pula berkata beliau mengetahui program tersebut daripada rakan dan datang sendiri untuk melihat jualan murah.

“Saya beli dua kampit beras dan telur, hanya perlu bayar RM30 sahaja berbanding di pasaran mungkin kira-kira RM50.

“Keseluruhan saya berpuas hati dengan program jualan murah ini dan patut diteruskan. Saya akan datang lagi jika jualan ini diadakan berhampiran rumah,” katanya.

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan sejak 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Juualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :