Wakil penduduk Apartmen Penaga, Taman Mas, Puchong bergambar bersama Ketua Tanggungjawab Sosial MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kiri) di depan pekarangan apartmen. Foto ihsan persatuan penduduk
AGENSISELANGOR

Penduduk Apartmen Penaga hargai jasa MBI sumbang tangki air

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 5 Jan: Keprihatinan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang dua tangki baharu bagi menyelesaikan masalah bekalan air dihargai penduduk Apartmen Penaga, Taman Mas, Puchong.

Pengerusi persatuan penduduk berkata tangki yang pecah pada 28 Oktober lalu menyebabkan penduduk daripada 150 unit di apartmen tersebut terputus bekalan air selama dua bulan.

Menurut Azizu Wati Kadir, penduduk amat berterima kasih kerana tidak perlu lagi mengangkut air ke kediaman mereka selepas tangki baharu mula beroperasi pada 31 Disember lalu.

“Jika tidak kerana sumbangan MBI, entah sampai bila para penduduk terpaksa berulang alik mengangkut air dari tangki sementara yang diletakkan di bawah apartmen sembilan tingkat ini.

“Ini kerana tuntutan insurans yang dibuat oleh pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen untuk kerosakan semasa kejadian masih tidak diketahui bila akan dapat. Terima kasih MBI,” katanya ketika dihubungi.

Azizu Wati menambah pihaknya tidak akan melupakan kesungguhan MBI yang datang lebih tiga kali untuk berbincang dengan persatuan penduduk dan membantu sehingga masalah selesai.

Ketua Tanggungjawab Sosialnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata tempoh untuk memesan dan memasang dua tangki statik berkapasiti 4,000 gelen dengan kos keseluruhan RM13,000 memakan masa dua minggu.

Selain terputus bekalan air, kejadian tangki pecah sekitar 7.40 malam itu turut menyebabkan enam kenderaan rosak antaranya cermin pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Susulan itu, MBI menyumbang 240 botol air minuman 1.5 liter kepada penduduk terlibat bagi meringankan beban pada 31 Oktober tahun lalu selain meluluskan permohonan JMB apartmen bagi mendapatkan peruntukan membeli tangki baharu.


Pengarang :