Penerima Baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri Sungai Tua menunjukkan baucar yang diterima mereka di Pasaraya Giant Batu Caves, Gombak pada 14 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penduduk gembira dapat baucar RM200, tampung perbelanjaan sambut Tahun Baharu Cina

GOMBAK, 15 JAN: Penerima Baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menyifatkan bantuan berkenaan meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut perayaan itu minggu depan.

Kelindan lori Ong Yin Hean, 64, berkata baucar bernilai RM200 itu sangat membantu golongan sepertinya dalam menampung perbelanjaan membuat persiapan.

“Baucar RM200 ini mungkin nampak sedikit bagi mereka yang gajinya besar, tetapi untuk saya ia sangat membantu untuk buat persiapan Tahun Baharu Cina.

“Saya akan beli barang makanan seperti beras dan limau dengan menggunakan baucar ini. Diharap tahun depan boleh diteruskan kerana ia sangat membantu,” katanya.

Beliau antara lebih 300 penerima baucar beli-belah yang disampaikan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Gombak Husaini Yunos di Pasaraya Giant Batu Caves, di sini hari ini.

Bagi suri rumah Tan Kim Moy, 58, yang pertama kali menerima baucar berkenaan pula sangat  teruja untuk membeli-belah barangan keperluan perayaan.

“Baucar ini sangat bermakna untuk saya kerana boleh beli barangan makanan bagi persiapan Tahun Baharu Cina. Selalunya perlu guna duit sendiri, tetapi kali ini rasa seperti dapat rezeki besar,” katanya.

Sementara itu, pesara Chan Seng Chai, 60, berkata beliau tidak menyangka permohonannya diluluskan kerana ramai lagi yang membuat permohonan.

“Saya rasa ini rezeki Tahun Baru Cina untuk saya jadi mahu gunakan untuk membeli persiapan menyambut perayaan itu,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program merupakan bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk menyediakan kelengkapan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :