Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama kanak-kanak orang kelainan upaya ketika merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Pusat Prasekolah AnIS Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk sambut baik prasekolah AnIS di Rawang, cadang bina di Bandar Country Homes

Oleh AZIAN AZIZ

RAWANG, 31 JAN: Cadangan Kerajaan Negeri untuk membina Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di sini disambut baik penduduk khususnya ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.

Malah mereka turut memberi cadangan supaya pusat prasekolah itu dibina di Bandar Country Homes, dekat sini.

Aizura Ahsan, 48, dari Rawang Jaya berkata Bandar Country Homes adalah kawasan padat dan ramai penghuninya terdiri daripada golongan B40 dan sudah pasti ibu bapa yang ada anak istimewa bersetuju kawasan itu dibina pusat prasekolah berkenaan.

Aizura Ahsan. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kalau ada pusat prasekolah dan jagaan harian ini, dapatlah anak-anak istimewa ini terutama dalam kalangan keluarga kurang mampu belajar,” katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Pekan Rawang semalam.

Aizura yang bertugas di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang berkata dengan pembinaan pusat prasekolah dan pusat jagaan itu, ibu bapa anak-anak istimewa itu dapat mencari rezeki dengan tenang kerana anak-anak mereka dijaga.

Sementara itu Ketua Kampung Melayu Pekan Rawang, Zahariman Abd Ghani, 71, yang turut menyokong cadangan pembinaan dibuat di Bandar Country Homes berkata inisiatif Kerajaan Negeri ini memberi peluang anak-anak istimewa ini melalui dunia persekolahan seperti kanak-kanak seusia yang normal.

Zahariman Abd Ghani. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Bagi ibu bapa yang mampu boleh hantar anak mereka ke sekolah berbayar tetapi yang tidak mampu kena cari alternatif malah ada terpaksa duduk di rumah.

“Saya harap pusat prasekolah ini cepat dibina supaya mereka semua ada tempat belajar dan bermain,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi Pertubuhan Skuad Peka Rawang, Abu Bakar Ismail, 63, berkata dengan adanya inisiatif itu anak-anak prasekolah istimewa di Rawang dapat disatukan di bawah satu bumbung.

Beliau berkata di Rawang terdapat satu sekolah untuk anak-anak istimewa di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi difahamkan tidak cukup untuk menampung jumlah yang ramai.

Abu Bakar Ismail. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Dengan adanya pusat prasekolah dan jagaan harian ini, bukan sahaja bantu ringankan beban keluarga anak-anak istimewa yang tidak mendapat tempat malah segala bantuan daripada pihak setempat juga dapat disalurkan di sana,” katanya yang turut menyokong pembinaan pusat itu di Bandar Country Homes.

Pada 27 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Pusat Prasekolah AnIS yang diwujudkan awal tahun ini bakal dibina di kawasan luar bandar antaranya Rawang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat jagaan harian orang kelainan upaya (OKU) tanpa yuran itu menerima kanak-kanak kategori lewat perkembangan (GDD), sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) yang lahir di Selangor berusia lima hingga enam tahun.


Pengarang :