Petugas PKPS membuat persiapan untuk jualan Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Seksyen 24 Shah Alam.pada 21 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk sanggup datang awal, beli barang dapur pada harga murah

SHAH ALAM, 22 JAN: Seorang penduduk sanggup datang satu jam awal untuk menunggu giliran demi mendapatkan barangan keperluan dapur pada harga murah di Jualan Ehsan Rakyat (JER) Seksyen 24, di sini, semalam.

Penjawat awam, Mohd Sufi Md Sharif,40, berkata beliau tiba di lokasi jualan sebelum jam 9 pagi dan ketika itu pengunjung sudah ramai walaupun dalam hujan.

“Ini pertama kali saya datang ke jualan murah dan tidak kisah perlu beratur dan menunggu lebih satu jam kerana mahu melihat sendiri program ini.

“Ternyata program ini amat bagus dan sangat memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah kerana harga ditawar amat murah serta berbaloi,” katanya.

Pekerja swasta, Rasuna Ahmad Bujang,46, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan keperluan asas pada harga murah menerusi program ini.

“Kebiasaannya saya tidak dapat hadir kerana bekerja tetapi apabila dibuat pada hari minggu, ada peluang untuk membeli barang terutama yang sukar didapati di pasar seperti telur.

“Saya pernah beberapa kali datang ke jualan murah ini dan sentiasa ramai yang hadir. Mungkin perlu diteruskan walaupun seminggu sekali bagi membantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Sementara itu, pesara, M.Gunesan,67, berkata beliau mengetahui program jualan murah daripada jirannya yang memaklumkan boleh dapatkan barangan asas pada harga berpatutan semalam.

“Apabila tiba di sini, saya lihat harga memang murah berbanding pasaran luar. Saya boleh bandingkan kerana saya bawa isteri ke pasar dan boleh lihat perbezaan harga.

“Ini pertama kali saya datang dan kalau ada lagi selepas ini saya pasti akan datang lagi kerana menjimatkan perbelanjaan dapur,” katanya.

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan sejak 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :