Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Sri Putra, Sungai Buloh pada 16 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Penduduk teruja dapatkan barangan asas pada program jualan murah PKPS

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Penduduk menyambut baik program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diteruskan tahun ini dan teruja bagi mendapatkan barang keperluan asas di Taman Sri Putra, Sg Buloh hari ini.

Program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) edisi 2023 bermula hari ini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Nur Ujudillah Ramli, 35, yang kerap hadir ke program itu berkata memang berbaloi mendapatkan barangan di bawah harga pasaran seperti ayam, telur dan daging tambahan ia ukar diperoleh pada masa ini.

Nur Ujudillah Ramli. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Namun, saya harap sistem penggiliran ditambah baik kerana pembeli terlalu ramai menyebabkan keadaan sesak dan lambat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Shahriff Ahmad, 61, juga tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur kerana kualiti yang setanding dengan produk di pasaran.

“Barang keperluan dijual dalam program ini seperti telur berbaloi untuk dibeli kerana selain murah, kualiti juga bagus,” katanya sambil berharap agar sayur-sayuran turut dijual pada masa depan.

Sementara itu, S Suguna, 37, pula mahu program diadakan lebih kerap memandangkan ianya menguntungkan rakyat.

S Suguna. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jika boleh, buat (program) selalu. Program ini banyak memberi manfaat kepada penduduk,” katanya yang pertama kali menyertai jualan murah tersebut.

Terdahulu, PKPS memaklumkan berkata program di Taman Sri Putra merupakan yang pertama bagi tahun ini dan salah satu daripada sembilan lokasi diadakan hari ini.

“Program akan diteruskan sehingga Sabtu dan akan berehat bagi memberi laluan cuti umum untuk Tahun Baharu Cina sebelum bersambung semula pada 25 Januari,” kata agensi terbabit ketika dihubungi.

Jelajah Ehsan Rakyat menawarkan pelbagai barangan murah seperti ayam standard (RM10 seekor), daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :