Ketua pengasuh taska, Nazatul Nadia Mustakim, 27 melakukan aktiviti bersama anak taska ketika Pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengasuh dari rumah dipelawa sertai kursus asas asuhan kanak-kanak

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 1 JAN: Golongan wanita 18 tahun ke atas yang mengasuh kanak-kanak dari rumah dipelawa menyertai Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak (KIPK).

Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) memaklumkan penyertaan kursus asas asuhan kanak-kanak percuma selama dua hari bermula 28 Januari ini terhad kepada 45 pengasuh.

Agensi itu berkata program yang akan diadakan di sekitar Lembah Klang turut menyediakan penginapan dan makananan untuk peserta.

“Kursus terbuka untuk warganegara yang menjalankan perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak di rumah yang menetap dan merupakan pengundi di Selangor.

“Pemohon juga mestilah tidak memiliki sijil latihan selain tidak pernah menghadiri sebarang kursus pengasuhan dikendalikan JKM atau agensi awam mahupun swasta,” menurutnya menerusi Facebook.

Orang ramai yang berminat mengikuti kursus boleh membuat permohonan sebelum 21 Januari ini.

Maklumat lanjut dan borang KIPK boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://e-kipk.yawas.my/permohonan/ .

Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM4.6 juta bagi pelaksanaan program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) tahun ini ketika Belanjawan 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif penjagaan awal kanak-kanak dijangka memanfaatkan hampir 4,000 pusat asuhan dan 40,000 keluarga seluruh negeri.


Pengarang :