Mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali berbual bersama sebahagian anggota penyelamat sempena majlis penghargaan khas kepada mereka di pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Hulu Selangor di Wisma Antara Gapi, Hulu Selangor pada 13 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penghargaan jadi motivasi, bakar semangat agensi penyelamat tabur bakti

Oleh AZIAN AZIZ

HULU SELANGOR, 14 JAN: Penghargaan khas kepada 10 agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali menjadi motivasi dan pembakar semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata beliau mewakili semua yang bertugas selama sembilan hari sejak 16 Disember lalu terharu dengan penghargaan tersebut.

“Ini panggilan kecemasan dan operasi pertama di Hulu Selangor melibatkan jumlah mangsa yang ramai dengan jumlah korban sehingga 31 orang. Situasi yang berlaku memberi pengalaman serta cabaran yang berbeza dan tak akan dilupakan.

“Tempoh sembilan hari melakukan pencarian mangsa bukan mudah namun berkat kerjasama yang jitu daripada semua agensi tugas yang diamanahkan dapat dilakukan dengan jayanya,” katanya selepas majlis penghargaan di pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Hulu Selangor di Wisma Antara Gapi, di sini malam tadi.

Kesemua 10 agensi menerima penghargaan berbentuk wang tunai RM2,000 dan plak yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali dan Pejabat Cabang KEADILAN selain hamper daripada keluarga mangsa kejadian.

Kamil menjelaskan, kerjasama pelbagai agensi dalam menangani dan menguruskan tragedi tersebut sehingga selesai boleh dijadikan contoh.

“Kami juga telah melakukan yang terbaik untuk mencari dan menyelamatkan semua mangsa. Takziah dan semoga keluarga mangsa terus tabah,’’ katanya sambil memberitahu pasukannya merupakan yang pertama tiba di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Suffian Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dan memberi semangat kepada anggota penyelamat yang melakukan tugas SAR semasa kejadian.

“Agensi yang terlibat dalam misi SAR ada 16 secara keseluruhannya. Kesemuanya berganding bahu dalam menghadapi musibah dan melakukan tugas hingga berjaya.

“Terima kasih kepada Pegawai Daerah Raub yang bertindak sebagai Pengerusi Bencana Daerah kerana menyediakan kemudahan, pihak hospital, Jabatan Pertahanan Awam, pakar fisioterapi pasukan bola sepak Selangor dan semua yang tidak sempat saya sebutkan,’’ tambahnya.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember 2022 mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.

 


Pengarang :