Pelukis Ellie (kiri) menunjukkan mural yang telah siap dibaik pulih kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei (dua, kiri) dan Ahli Majlis Zon 8 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Billy Wong Swee Sang di SS2, Petaling Jaya pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Peniaga dialu-alukan hubungi ADN baik pulih mural luar premis

PETALING JAYA, 17 JAN: Peniaga sekitar SS2 yang mempunyai mural di bahagian luar premis boleh menghubungi pejabat Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku untuk proses baik pulih.

Wakil rakyatnya Lim Yi Wei memaklumkan pihaknya akan membantu membaiki lukisan yang pudar dengan kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan kawasan tersebut kekal indah.

“Kami buka kepada mana-mana peniaga terutama di tepi blok yang mempunyai mural sendiri untuk hubungi kami. Kami akan bincang dengan beberapa pihak terutama pelukis untuk proses baik pulih,” katanya.

Terdahulu, Yi Wei membawa pengamal media melihat tujuh mural yang selesai dibaik pulih oleh pelukis Silly Jellie dengan peruntukan RM19,500 oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap projek pemulihan mural tersebut memacu keprihatinan masyarakat khususnya peniaga untuk menjaga kebersihan pusat komersial berkenaan.

“Saya mahu SS2 lebih dikenali sebagai kawasan yang bersih dan cantik supaya lebih ramai pengunjung dapat datang dan menyokong perniagaan di sini,” katanya lagi.


Pengarang :