Proses penggalian tanah runtuhan menggunakan jentera pengaut di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya.
AGENDANASIONAL

Penjawat awam ditahan disyaki curi barangan milik mangsa tanah runtuh Batang Kali

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Polis menahan seorang penjawat awam yang dipercayai mencuri barangan milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada 16 Disember lepas.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata suspek berumur 27 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang semalam dan polis akan membuat permohonan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Dalam persidangan media di sini hari ini beliau berkata susulan penahanan itu, polis turut turut merampas barangan yang dipercayai milik mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 7 Januari 2023. Foto BERNAMA

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah memaklumkan pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook dipercayai daripada salah seorang ahli keluarga mangsa, yang mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa.

Tragedi tanah runtuh pada 2.46 pagi itu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun.

– BERNAMA


Pengarang :