Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
AGENDANASIONAL

Penjawat awam, pesara ditahan dipercayai lindungi kegiatan curi balak

KUANTAN, 5 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang penjawat awam dan pesara kerajaan yang dipercayai menerima wang ‘habuan’ bagi melindungi kegiatan mencuri kayu balak dari kawasan hutan simpan sekitar Kuala Lipis.

Kedua-dua suspek lelaki itu dipercayai menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 daripada pemilik syarikat dari November 2019 hingga 2020.

Sumber memaklumkan suspek pertama yang berusia 40 tahun ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub ketika hadir memberi keterangan jam 2.30 petang tadi manakala suspek kedua, 61, ditahan 7 malam semalam.

SPRM Pahang turut menahan seorang lagi penjawat awam yang dipercayai menerima rasuah RM1,500 sebanyak dua kali daripada seorang individu sebagai balasan untuk melepaskan barang disita oleh sebuah jabatan kerajaan yang terbabit dengan aktiviti perhutanan pada Disember 2018.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

– BERNAMA


Pengarang :